Malaysia B-23 Hilang Khidmat Rahman Daud
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia B-23 terpaksa menghadapi separuh akhir Sukan SEA 2025 tanpa kelibat penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud.

Ini kerana penyerang berusia 21 tahun itu perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua ketika menentang Vietnam. Khabar sama turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Perkara ini disahkan pengendali Malaysia B-23, Nafuzi Zain. Meskipun begitu, beliau boleh menarik nafas lega kerana Haqimi Azim Rosli kembali menyertai pasukan.

“Untuk perlawanan (menentang Thailand), Kita kehilangan Rahman kerana penggantungan. (Ini disebabkan beliau mengutip) dua kad kuning.

“Tetapi Haqimi boleh kembali ke skuad hari ini. Jadi, kita ada satu penyerang saja. Bila Rahman tiada, Haqimi masuk,” katanya.

Nafuzi turut memaklumkan pasukan itu turut berdepan masalah kecederaan membabitkan beberapa pemain.

Justeru, tahap kecergasan mereka akan dinilai terlebih dahulu sebelum barisan kejurulatihan membuat keputusan tentang kesebelasan utama pada hari perlawanan.

“Kita ada satu atau dua masalah kecederaan. Jadi, kita akan lihat macam mana (keadaan mereka) hari ini dan esok.

“Harapnya pemain yang cedera dapat kembali semula sebab pilihan pemain kita agak terbatas,” tambahnya.

Malaysia B-23 dan Thailand akan berentap di peringkat separuh akhir untuk memburu tiket final pada 15 Disember.

Aksi ini juga dilihat peluang skuad negara membalas dendam terhadap Thailand. Ini selepas skuad Malaysia B-23 disingkirkan lawan sama dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026.