Malaysia ‘Baham’ Laos
MakanBola
MALAYSIA NT

Malaysia berjaya membenam cabaran pasukan kebangsaan Laos dengan keputusan 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Harimau Malaya membariskan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Dion Cools menggalas lilitan kapten manakala Arif Aiman mengemudi jentera serangan pasukan negara.

Sementara itu, Laos menurunkan Kop Lokphathip di benteng terakhir dan Kydavone Souvanny menjadi ayam tambatan pasukan tersebut.

Harimau Malaya bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan awal di sebelah kanan menerusi penyerang lincah JDT, Arif Aiman namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan Laos.

Laos melepaskan rembatan kencang pada minit ke 18′ namun berjaya ditepis dengan mudah oleh Syihan Hazmi sekaligus menyelamatkan gawang Malaysia.

Pasukan julukan Million Elephants berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 19′ menerusi pemain bernombor 6, Chanthavixay Khounthoumphone dengan gol cantik sekaligus memberikan tekanan buat pasukan kebangsaan.

Romel Morales mendapat peluang keemasan untuk meraih gol penyamaan pada minit ke 38′ namun rembatan beliau tersasar di sebelah kanan gawang.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Laos.

Bersambung babak kedua perlawanan, Malaysia terus meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol penyamaan sekaligus mengembirakan ribuan penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Harimau Malaya terus menerus mengasak dan melakukan percubaan ke arah kubu Laos bagi 10 minit pertama separuh masa kedua namun masih gagal menembusi jaring.

Malaysia dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke 57′ hasil terjahan keras ke atas pemain Harimau Malaya di luar kawasan kotak penalti Laos.

Faisal Halim akhirnya memberikan kegembiraan kepada ribuan penyokong Harimau Malaya dengan ledakan berbisa dari sepakan percuma tersebut pada minit ke 59′.

Romel Morales menambah keceriaan kepada penyokong Harimau Malaya pada minit ke 65′ hasil rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti. Gol tersebut memberikan kelegaan kepada kem Malaysia.

Memasuki minit ke 70′, beliau sekali lagi meledak gol ketiga Harimau Malaya. Jaringan tersebut terus mematikan langkah pasukan pelawat, Laos.

Harimau Malaya turut memperoleh gol keempat menerusi jaringan sendiri pemain Laos, Thapaseut pada minit ke 79′.

Paulo Josue melengkapkan malam gemilang pasukan kebangsaan Malaysia dengan meledak gol ke-5 pada minit ke 82′. Jaringan tersebut memastikan Harimau Malaya membawa pulang 3 mata penuh di halaman sendiri.

Perlawanan tamat dengan keputusan 5-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Malaysia.

Malaysia kini berada di puncak kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 Arab Saudi dengan 12 mata penuh dalam 4 aksi.