Malaysia berpotensi untuk mendapat pemain warisan baharu menjelang kem latihan pusat September ini.
Harimau Malaya hasil revolusi DYAM Tunku Ismail telah menerima suntikan tambahan daripada pemain berkelas dunia pada aksi bermula Mac lalu.
Kehadiran dua tonggak baharu – Hector Hevel dan Gabriel Palmero membuka lembaran baharu sebelum lima lagi pemain iaitu Jon Irazabal, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan juga Rodrigo Holgado beraksi pada Jun lalu.
Skuad kebangsaan kini dalam misi penting untuk mempersiapkan pasukan menjelang dan merebut slot ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Laporan terbaru daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendakwa bahawa Harimau Malaya berpeluang untuk mendapatkan seorang lagi pemain warisan baharu.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah tonggak tengah kelahiran Sepanyol, Nacho Mendez yang didakwa memiliki keturunan Malaysia.
“Dari Sepanyol ke Malaysia, Nacho Mendez secara rasminya adalah pemain warisan baharu yang ke-8,” katanya di laman X.
Tonggak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga difahamkan memiliki pertalian darah dengan datuknya yang lahir di Penang.
“Atuknya lahir di Penang,merupakan campuran Cuba,Sepanyol & Malaysia,” tambah Zulhelmi.
Empat pemain warisan baharu negara secara rasmi sudah pun menyertai skuad Harimau Selatan iaitu Irazabal, Hevel, Joao dan juga terbaru, Nacho.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung status Nacho yang bakal memperkuat Harimau Malaya dalam masa terdekat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).