Malaysia Bakal Uji Singapura Sebelum Ke Kelayakan Piala Asia Wanita B-20
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia merancang untuk mengadakan aksi persahabatan dengan Singapura menjadi salah satu lawan sebelum sertai Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Kuala Lumpur.

Skuad muda wanita Malaysia di bawah bimbingan Cameron Ng kini sudah memulakan hari pertama sesi latihan di Bukit Jelutong menjelang aksi kelayakan ke Piala Asia pada Ogos hadapan.

Seramai 26 pemain telah dipanggil oleh barisan kejurulatihan untuk dinilai sebelum membawa cabaran Malaysia ke saingan tersebut yang turut membabitkan Jepun, Iran dan juga Guam nanti.

Menurut Cameron Ng, sekurang-kurangnya 3 aksi sedang diatur untuk menguji barisan pemain beliau sebelum sepak mula Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Cheras pada 2 Ogos hadapan.

”Ya, kita bakal ada perlawanan persahabatan tertutup dan saya harap akan ada 3 aksi sebelum kelayakan ini bermula,” kata Cameron Ng ketika ditemui pada sesi latihan pertama di Bukit Jelutong.

”Kemungkinan satu kelab tempatan dan satu negara luar akan datang untuk aksi pemanas badan.”

Ketika ditanya tentang identiti negara luar tersebut, Cameron menjawab bahawa Singapura bakal menjadi lawan Malayan Tigress B-19 ini selain satu lagi kelab tempatan yang dibarisi pemain senior.

“Kita akan berdepan Singapura dalam aksi persahabatan dan satu lagi kelab tempatan. Oleh kerana ini adalah skuad muda, jadi kita akan bertemu pasukan senior,” tambah beliau lagi.

Malaysia akan bertemu Iran dalam aksi pertama kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 pada 6 Ogos ini sebelum menentang Jepun dan Guam dengan hanya selang dua hari bagi setiap aksi.

8 juara kumpulan dan 3 naib juara terbaik akan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 2026 di Thailand pada 1 hingga 18 April 2026 hadapan.