Malaysia membuka kalendar antarabangsa September dengan kemenangan apabila menewaskan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Malaysia berharap dapat menebus kekecewaan disingkirkan The Lions di peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024. Singapura pula memburu kemenangan ke atas Harimau Malaya buat kali pertama sejak 2022.
Penjaring terbanyak Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo mengetuai jentera serangan skuad kebangsaan. Bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin mengetuai benteng Singapura.
Separuh masa pertama menyaksikan Arif Aiman Hanapi hampir membuka tirai jaringan pada minit kelima. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Izwan Mahbud.
Tidak lama selepas itu, giliran Figueiredo pula menguji kecekapan penjaga gol Lion City Sailors (LCS) itu. Percubaan bekas penyerang Istanbul Basaksehir itu berjaya ditangkap kemas Izwan.
Gol yang dicari Malaysia akhirnya muncul pada minit ke-26. Selepas bertukar hantaran dengan Endrick dos Santos, Stuart Wilkin melepaskan rembatan deras melepasi Izwan.
Gol ketujuh pemain Sabah FC itu bersama Harimau Malaya memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Figueiredo mencetak namanya sebagai penjaring 10 minit selepas babak kedua bermula. Wilkin bijak membuat hantaran lintang yang mudah disempurnakan penyerang kelahiran Sao Paulo itu.
Situasi ini mendorong pengendali Singapura, Gavin Lee membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengekang asakan Harimau Malaya.
Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski pula memilih memasukkan Sergio Aguero dan Quentin Cheng untuk memperkemaskan rentak permainan.
Tatkala Harimau Malaya selesa di hadapan, pemain gantian, Ilhan Fandi mengurangkan defisit gol pada minit ke-72.
Gol tersebut mendorong skuad kebangsaan kembali meningkatkan tekanan untuk memburu gol ketiga. Ini mendorong Cklamovski memasukkan Gabriel Palmero dan Romel Morales sebagai pemain gantian.
Kedua-dua pasukan terus memburu gol tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini memberi keyakinan kepada Malaysia menjelang aksi menentang Palestin pada 8 September.
Singapura pula akan kembali ke negara itu untuk aksi persahabatan tertutup dengan Myanmar pada 9 September.