Malaysia terus mendaki puncak ranking FIFA dan kini berpeluang untuk memintas kedudukan Vietnam.
Skuad kendalian Peter Cklamovski cemerlang merekodkan kemenangan kelima Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Nepal dengan keputusan 1-0.
Jaringan tunggal Faisal Halim pada minit ke-56 memastikan Harimau Malaya kekal menerajui carta kumpulan berbaki satu perlawanan menentang Vietnam pada Mac 2026.
Berdasarkan kemas kini ranking FIFA, Malaysia mencatatkan satu lagi peningkatan apabila menduduki tangga ke-116 dunia, naik dua tangga berbanding kemas kini terdahulu (118 dunia) dengan 1168.41 mata.
Harimau Malaya kini semakin menghampiri kedudukan Vietnam yang berada pada tangga ke-110 dunia dengan 1183.62 mata selaku pasukan kedua terbaik di Asia Tenggara.
Kedudukan pasukan terbaik di Asia Tenggara kekal menjadi milik Thailand yang menembusi kelompok 100 terbaik dunia – kedudukan ke-95 dunia dengan 1243.27 mata.
Malaysia bagaimanapun masih belum mengesahkan kemaraan ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi susulan Vietnam mengekori rapat Harimau Malaya di tangga kedua kumpulan dengan 12 mata.