Tonggak naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi tampil bersuara mengenai isu penggantungan yang dikenakan FIFA terhadap 7 pemain warisan Malaysia.
FIFA menerusi Jawatankuasa Disiplin pada Jumaat lalu telah menjatuhkan denda kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beserta 7 tonggak warisan atas dakwaan melakukan pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran pemain ini.
FAM bagaimanapun menegaskan bahwa segala proses telah dilaksanakan berdasarkan prosedur rasmi dengan kerjasama rapat bersama pihak kerajaan dan FIFA sendiri, malah dokumen pemain berkenaan pernah diluluskan sebelum ini.
Situasi itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang tampil mempersoalkan berkenaan keputusan yang berubah secara tiba-tiba sedangkan pemain terbabit sudah lama beraksi mewakili Harimau Malaya.
Liridon yang pernah menyarung jersi Malaysia menyifatkan keputusan FIFA tersebut amat tidak adil serta satu bentuk ketidakhormatan terhadap pasukan, penyokong dan usaha bertahun yang dilakukan secara telus.
“Malaysia telah membuat segala perkara dengan betul. Setiap dokumen, prosedur dan langkah telah dipatuhi dengan kerjasama pihak kerajaan, FAM dan FIFA sendiri.”
“Para pemain ini sudah pun diluluskan. Sekarang tiba-tiba keputusan diubah? Kenapa? Oleh siapa?” soal beliau.
Beliau turut menegaskan isu ini bukan lagi membabitkan soal teknikal atau dokumen semata-mata, sebaliknya menyentuh maruah, integriti dan kebangkitan Harimau Malaya yang kini kelihatan digugat oleh pihak tertentu.
Liridon tidak menafikan peranan besar DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan bola sepak Malaysia dan menyifatkan usaha baginda bagaikan tunjang utama kepada pencapaian liga tempatan serta skuad negara hari ini.
Namun, apa yang lebih menyedihkan menurut Liridon adalah ketika mana melihat rakyat Malaysia berpecah di saat negara sepatutnya bersatu hati mempertahankan nama dan maruah bola sepak negara.
“Ini bukan masa untuk berpecah. Ini masanya untuk setiap rakyat Malaysia (iaitu) pemain, penyokong, media, kerajaan, semua untuk berdiri bersama.”
“Jika kita tidak mempertahankan maruah kita sendiri, tiada siapa lagi yang akan melakukannya,” tegasnya.

Liridon menutup kenyataannya dengan menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berdiri teguh bersama pasukan kebangsaan dan tidak tunduk kepada ketidakadilan demi memastikan kebangkitan bola sepak negara tidak disekat.