Pasukan kebangsaan Malaysia berjaya membenam cabaran Nepal dengan keputusan 1-0 dalam aksi ke-5 Kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Malaysia membariskan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Safawi Rasid mengemudi jentera serangan manakala Matthew Davies menggalas lilitan kapten pasukan.
Sementara itu, pasukan Nepal menurunkan Kiran Kumar di benteng terakhir dan Laken Limbu sebagai arkitek di bahagian tengah negara tersebut.
Harimau Malaya bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu pasukan Nepal pada awal minit perlawanan.
Malaysia terpaksa akur kehilangan khidmat Arif Aiman pada minit ke 8′ selepas beliau menerima terjahan keras pemain lawan ketika hendak melakukan serangan balas sehingga dikeluarkan dan Faisal Halim masuk sebagai pemain gantian.
Safawi Rasid berjaya melakukan satu rembatan kencang pada minit ke 20′ namun percubaan tersebut berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Nepal, Kiran Kumar.
Selain itu, Corbin Ong turut melakukan percubaan menerusi tandukan pada minit ke 33′ selepas menerima hantaran cantik daripada Dion Cools namun tersasar dari gawang pasukan Nepal.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan meskipun Malaysia memiliki banyak percubaan berbahaya.
Memasuki separuh masa kedua, Harimau Malaya tampak meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol pembukaan aksi.
Faisal Halim berjaya meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke 56′ sekaligus menceriakan ribuan penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia dilihat menguasai penuh perlawanan pada malam ini dengan melakukan beberapa serangan dan percubaan berbahaya.
Memasuki minit ke 85′ kedudukan masih didahului oleh pasukan Harimau Malaya dengan kelebihan satu gol.
Paulo Josue gagal menambah jaringan kedua perlawanan pada minit akhir separuh masa kedua selepas Harimau Malaya dihadiahkan sepakan penalti.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Malaysia.