Malaysia disarankan untuk mengambil aspek positif dan mencontohi usaha negara Jiran, Indonesia.
Skuad kendalian Patrick Kluivert terpaksa menelan hakikat perit apabila terlepas peluang ke pentas Piala Dunia 2026 susulan tewas di Pusingan Ketiga.
Usaha progresif Sang Garuda bagaimanapun membuka mata pemerhati dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Razman Roslan.
Bekas tonggak Selangor FC itu menganggap bahawa usaha yang dilakukan oleh Indonesia itu cukup luar biasa sehingga hampir melangkah ke pentas tertinggi bola sepak dunia.
“Kita ingin melihat Indonesia sebenarnya untuk layak ke Piala Dunia. Ini kerana mereka merupakan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara.
“Sebuah rantau yang sebelum ini mungkin tiada siapa ingat akan ada pasukan boleh layak.
“Sungguhpun kelihatan sinarnya pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari, termasuklah skuad B-23 Indonesia yang juga berpeluang untuk ke Olimpik,” kata Razman kepada Astro Arena.
Razman juga menyarankan agar usaha yang dilakukan oleh negara jiran ini wajar dicontohi oleh Malaysia.
“Bagi saya, apa yang dipamerkan oleh Indonesia seharusnya kita (Malaysia) contohi.
“Kita ambil aspek positif sungguhpun mereka ini musuh atas padang buat Malaysia.
“Apa yang telah mereka (Indonesia) lakukan untuk dua tahun kebelakangan ini harus kita contohi kerana mereka sudah hampir menjejakkan kaki ke Piala Dunia,” tambahnya.