Tonggak muda futsal Malaysia, Syahir Iqbal Khan sedia untuk memberikan saingan terbaik menjelang aksi persahabatan bertemu Australia sebelum membuka kempen AFF Futsal Championship.
Pasukan futsal negara kendalian Rakhpol Sainetngam kini berada di Bangkok, Thailand bagi kem latihan pusat fasa akhir sebelum ke Nakhon Ratchasima untuk aksi pertama kejohanan
Sebagai persiapan akhir, skuad kebangsaan akan berdepan dua perlawanan persahabatan bertemu Australia pada Ahad, 27 Oktober dan Bluewave Chonburi FC tiga hari kemudian di Bangkok.
Menerusi temu bual bersama wartawan UltraSukan, Faris Zukeiman, Syahir Iqbal memberitahu bahawa persiapan pasukan kini berada keadaan lebih baik selepas pulang dari Yogyakarta, Indonesia.
“Persiapan kami lagi teratur dan fokus kepada latihan selepas aksi lawan Indonesia tempoh hari,” ujar Syahir.
“Pemain kebangsaan semuanya memberikan yang terbaik dan sentiasa fokus 100 peratus pada sesi latihan pagi and petang,” kata bintang muda Selangor FC itu lagi.
Tambah Syahir, beliau melihat pasukan negara kini bersedia untuk turun beraksi di Thailand sambil berkongsi pendekatan jurulatih yang banyak menekan aspek pertahanan menjelang perlawanan nanti.
“Bagi saya secara peribadi, kami sudah bersedia untuk mengharungi aksi persahabatan ini dan juga untuk Kejuaraan ASEAN akan datang.
“Ketua Jurulatih, Rakhpol Sainetngam banyak menekankan kepada kami untuk memperbaiki aspek pertahanan sebelum berdepan Australia,” jelasnya eksklusif kepada UltraSukan.
Saingan Kumpulan A menampilkan tuan rumah Thailand, Vietnam, Malaysia, Timor-Leste dan Brunei manakala Kumpulan B dibarisi Indonesia, Myanmar, Australia dan Kemboja.
Skuad futsal negara bakal membuka tirai saingan berdepan Brunei pada 3 November sebelum bertemu Vietnam serta Thailand dan akan menutup aksi kumpulan menentang Timor Leste.