Aksi penentuan tempat ke-3 Piala Sultan Azlan Shah bakal menyaksikan Malaysia turun menentang New Zealand.
Saingan round robin Piala Sultan Azlan Shah menutup tirai pada Sabtu dengan 3 aksi berlangsung cukup sengit bagi menentukan kedudukan dan lawan yang bakal dihadapi di pusingan klasifikasi.
Negara di ranking ke-3 dunia, Belgium berjaya mengalahkan New Zealand dengan keputusan 5-1 untuk berada di tangga teratas manakala India berpesta gol membelasah Kanada 14-3.
Satu lagi aksi menyaksikan Malaysia terpaksa akur tewas 3-4 kepada Korea Selatan meskipun anak-anak buah Sarjit Singh berjaya bangkit selepas ketinggalan 3 gol terlebih dahulu di awal permainan.
Kedudukan akhir meletakkan Belgium di tangga teratas carta mengumpul 13 mata selepas 5 perlawanan, diikuti India yang berada di tempat kedua dengan hanya perbezaan satu mata.
New Zealand pula menghuni kedudukan ke-3 dengan 7 mata hasil dua kemenangan, sekali seri serta dua kekalahan tatkala tempat ke-4 diduduki Malaysia setelah berakhirnya aksi pada petang Sabtu.
Kanada dan juga Korea Selatan pula masing-masing berada di dua kedudukan tercorot carta sekaligus menyaksikan dua negara ini akan turun bertemu dalam perlawanan klasifikasi ke-5 esok.
Final bakal menyaksikan pertembungan antara Belgium dan India yang bakal merebut gelaran juara tatkala New Zealand bersama Malaysia akan turun dalam aksi penentuan tempat ke-3.