Malaysia menyapu bersih rekod kemenangan sekali gus mengatasi prestasi Indonesia dan Thailand.
Skuad kendalian Peter Cklamovski cemerlang menutup kempen 2025 menerusi kemenangan 1-0 ke atas Nepal pada aksi kelima Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Harimau Malaya berjaya merekodkan lima kemenangan daripada lima aksi terakhir, mengekalkan rekod 100 peratus selain menjaringkan 12 gol dan hanya dibolosi sebanyak dua kali.
Rekod ini menyaksikan pasukan kebangsaan memiliki rekod lebih baik berbanding pasukan ke-95 dunia, Thailand yang hanya menang empat daripada lima aksi terakhir.
Thailand tewas tipis kepada Iraq pada aksi King’s Cup 2025 dengan keputusan 1-0 sebelum menang baki empat aksi termasuk 4-0 ke atas Sri Lanka baru-baru ini.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Indonesia yang memiliki rekod kurang baik dalam lima aksi terakhir (dua menang dan tiga kalah).
Sang Garuda ketika itu kendalian Patrick Kluivert hanya menang 1-0 ke atas China dan 6-0 menentang Chinese Taipei namun tewas tiga kali masing-masing menentang Jepun (6-0), Arab Saudi (3-2) dan Iraq (1-0).
Berdasarkan ranking FIFA semasa, Harimau Malaya merupakan pasukan ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas Thailand (95), Vietnam (110) diikuti Indonesia ke-122 dunia.