Malaysia berada di laluan yang tepat untuk melayakkan diri ke Piala Asia B-17 pada tahun hadapan.
Saingan Kelayakan Piala Asia B-17 sedang rancak berjalan ketika ini dengan aksi kumpulan C berlangsung di Vietnam melibatkan 4 lagi negara iaitu Malaysia, Singapura, Macau dan Kepulauan Mariana Utara.
Selepas 4 perlawanan, Malaysia B-16 yang dikendalikan oleh Javier Jorda Ribera berjaya merekodkan kemenangan bersih dalam kesemua aksi termasuklah menewaskan Singapura 2-1 pada Jumaat.
Kemenangan ke atas Singapura itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas untuk sementara waktu tatkala Vietnam akan turun beraksi pada sebelah malam menentang Macau.
Walau bagaimanapun, 4 kemenangan yang direkodkan oleh skuad muda negara ini memastikan langkah untuk ke pentas Piala Asia B-17 makin terbuka dengan cuma juara kumpulan akan mara.
Aksi terakhir menentang Vietnam pada Ahad bakal menjadi penentu siapakah yang bakal memperoleh slot Piala Asia B-17 2027 selaku juara kumpulan C bersama-sama 15 negara yang lain.
Vietnam dan Malaysia dijadualkan beradu tenaga dalam aksi terakhir kumpulan C pada Ahad, 30 November tepat jam 8 malam waktu Malaysia di PVF Youth Football Training Center.