Malaysia Selangkah Ke Piala Asia Futsal, Belasah Bangladesh
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam Kumpulan G apabila menewaskan Bangladesh dalam aksi kedua kumpulan.

Anak buah Rakhpol Sainetngam semakin bersemangat memburu kemenangan selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Bangladesh pula mahu bangkit selepas dibelasah Iran 12-0.

Rakhpol membuat satu pertukaran dengan memasukkan Mahadir Harahap Khairuddin sebagai pengganti Saad Sani.

Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia mengasak benteng Bangladesh untuk memburu gol pendahuluan.

Ridzwan Bakri hampir meletakkan skuad negara di hadapan pada minit keenam. Malangnya, percubaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terkena tiang.

Penyokong Malaysia di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan ceria apabila Awalluddin Mat Nawi membuka tirai jaringan seminit selepas itu.

Keceriaan kem Malaysia tidak bertahan lama. Pemain Bangladesh, Fayed Azim menyamakan kedudukan dengan menewaskan penjaga gol negara, Syaifuddin Syukri pada minit kelapan.

Malaysia kembali berada di hadapan lapan minit selepas itu menerusi Danial Dain. Danial melepaskan sepakan yang melepasi penjaga gol Bangladesh, Hassan Rabbi.

Bangladesh semakin tertekan apabila Mahadir Harahap menyumbat gol ketiga Malaysia pada minit ke-18. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Malaysia terus meningkatkan tekanan untuk menambah kelebihan gol mereka.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Malaysia Futsal Cup (MFC), Syahir Iqbal Khan Akbar Khan menyumbat gol keempat pada minit ke-22. Syahir melepaskan rembatan jarak jauh ke arah gawang Bangladesh yang kosong.

Enam minit kemudian, Mahadir menambah derita Bangladesh dengan gol kelima. Hantaran jauh Syaifuddin berjaya disempurnakan pemain JDT itu yang menerjah ke gawang lawan.

Saad Sani dan Faris Johan masing-masing menambah gol buat Malaysia pada minit ke-35. Ini menjadikan kedudukan semasa 7-1.

Bangladesh berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 7-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia semakin hampir layak ke Piala Asia Futsal 2026.

Skuad negara berdepan misi sukar apabila menentang pendahulu Kumpulan G, Iran pada 24 September. Seandainya berjaya mengejutkan jaguh Asia itu, skuad negara berpeluang mara selaku juara kumpulan.