Malaysia Seru Tenaga Sepanyol, Laos Ada Senjata Perancis
MakanBola
MNT/LFF

Aksi Malaysia vs Laos bulan hadapan bakal diserikan dengan kelibat bintang daripada Sepanyol & Perancis.

Pertemuan Malaysia dan Laos akan berlangsung dalam aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober ini dengan persiapan di belakang tabir sedang giat dirancang.

Persiapan skuad kebangsaan dilihat berjalan lancar sebelum ini dengan dua kemenangan yang dicapai ketika perlawanan persahabatan berdepan Singapura dan Palestin dua minggu lalu.

Fokus Harimau Malaya kini terarah kepada aksi menentang Laos dengan para peminat tak sabar menanti senarai nama pemain menjelang jendela antarabangsa FIFA bermula pada 6 Oktober ini.

Ketika ini, hanya seorang pemain yang sudah pasti dipanggil untuk menyertai kem latihan kebangsaan pada Oktober iaitu Gabriel Palmero seperti yang diumumkan oleh Unionistas de Salamanca.

Palmero yang merupakan pemain warisan Malaysia-Sepanyol sudah mempunyai dua kaps bersama skuad Harimau Malaya dengan kali terakhir beliau tampil ketika menentang Palestin.

Manakala lawan Malaysia nanti iaitu Laos pula turut memiliki pemain warisan untuk menjadi taruhan sekiranya diperlukan dengan 3 daripada mereka mempunyai hubungan bersama Perancis.

Roman Angot, Theo Klein dan Victor Ngovinassack sebelum ini pernah dipanggil oleh jurulatih Laos, Ha Hyeok-jun ketika perlawanan menentang Sri Lanka serta Vietnam pada bulan Mac lalu.

Walau bagaimanapun, khidmat ketiga-tiga tonggak kacukan Laos-Perancis ini disisihkan ketika mengalahkan Nepal pada Jun dan berpotensi untuk dipanggil ketika bertemu Malaysia nanti.

Sehingga kini, Laos masih belum lagi mengumumkan senarai nama panggilan menjelang aksi menentang Malaysia dengan jendela antarabangsa FIFA ketika ini berbaki hanya seminggu lagi.

Malaysia dan juga Laos akan berentap di Vientiane pada 9 Oktober ini sebelum perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan berlangsung di Bukit Jalil selang 5 hari kemudian.