Malaysia Tagih Khidmat 4 Pemain Luar Negara Lawan Laos
MakanBola
Malaysia NT

Seramai 4 pemain Malaysia di luar negara telah dipanggil membawa cabaran Harimau Malaya bagi aksi menentang Laos dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Senarai panggilan ke kem latihan pusat Harimau Malaya telah dikeluarkan yang menyaksikan 29 pemain telah pun dipanggil menjelang dua aksi penting berdepan Laos minggu hadapan.

Daripada senarai 29 pemain itu, 4 pemain ketika ini sedang berkelana di luar negara dan mempamerkan persembahan hebat sehingga khidmat mereka diseru oleh jurulatih, Peter Cklamovski.

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools yang beraksi bersama Cerezo Osaka sekali lagi mendapat panggilan kebangsaan selepas tampil cemerlang di Jepun dan baru mencetak gol sulung minggu lalu.

Selain itu, perancang tengah Ho Chi Minh City Police, Endrick Dos Santos juga bakal memperkuat pasukan Harimau Malaya setelah beraksi konsisten dalam musim keduanya di Vietnam.

Nama Sergio Aguero turut tersenarai kali ini untuk membantu Malaysia hadapi Laos dengan pemain Kanchanaburi Power di Thai League 1 itu beraksi ketika aksi persahabatan bagi bulan September lalu.

Pemain yang berkelana di Eropah, Richard Chin sekali lagi dipanggil oleh Peter Cklamovski untuk memperkukuh bek Harimau Malaya setelah tonggak Raith Rovers ini meledak gol pertama di Scotland.

Skuad Harimau Malaya akan terus bertolak ke Vientiane bagi menjalani kem latihan pada 6-8 Oktober sebagai persediaan bertemu Laos pada Khamis, 9 Oktober di New Laos National Stadium.

Latihan pusat akan bersambung pada 10-13 Oktober di Kuala Lumpur sebagai persediaan berdepan Laos untuk aksi timbal balik pada 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.