Malaysia mengumumkan barisan 14 pemain akhir yang dibawa untuk kempen kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain yang dipilih pengendali Thailand, Rakhpol Sainetngam.
Ridzwan Bakri mengetuai senarai tujuh pemain skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT). Kapten Selangor FC, Khairul Effendy Mohd Bahrin mengetuai empat pemain pasukan itu.
Harith Naim Nasir dan Zainulzahin Sinuan membawa cabaran Pahang Rangers FC. Wakil Terengganu, Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim melengkapkan senarai 14 pemain negara.
Malaysia akan membuka kempen kelayakan dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 September. Ini disusuli aksi menentang Bangladesh pada 22 September.
Jaguh Asia, Iran menjadi lawan terakhir skuad negara dalam Kumpulan G pada 24 September. Juara kumpulan dan tujuh pasukan kedua terbaik akan layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026.