Sebilangan penyokong mempersoalkan ketiadaan ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk insiden jaringan Negeri Sembilan FC dibatalkan dalam aksi menentang Selangor FC.
Negeri Sembilan beraksi cemerlang ketika bertemu Selangor dalam aksi timbal balik kedua Piala FA pada Rabu selepas berhasil mendahului dua jaringan pada awal babak pertama.
Permainan agresif ditampilkan oleh Negeri Sembilan berjaya memerangkap pasukan lawan sehingga terhasilnya jaringan menerusi Jovan Motika di minit ke-24.
Walau bagaimanapun, jaringan bekas pemain sayap KL City FC itu dibatalkan oleh pembantu pengadil atas kesalahan ofsaid. Meskipun dibantah pemain Sang Rusa, keputusan tersebut kekal.
Keputusan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong Negeri Sembilan berhubung pembatan gol Motika.
”VAR mana? Buat hiasan ke?” soal salah seorang penyokong di laman Facebook sebuah kumpulan penyokong Sang Rusa.
Seorang lagi penyokong turut senada dengan berkata, ”Penjaga garisan itu, kau buat apa? Ini perlawanan penting, jangan buat hal.”
Pemerhati bola sepak, Nurazhar Mohd Zin juga merasa pelik mengapa VAR tidak membuat semakan semula gol Motika itu.
“Tapi kenapa tiada ulang siar VAR untuk insiden ini? Jujur kata di depan kaca televisyen saya sendiri pun tidak dapat menilai sama ada Motika ofsaid ataupun onsaid.
“Ataupun kamera VAR sendiri tak cukup sempurna untuk menilai? Bayangkan jika situasi Negeri Sembilan 3-0 sebelum masuk rehat separuh masa pertama,” katanya di Facebook.
Perjuangan Negeri Sembilan dalam Piala FA terhenti di suku akhir apabila tewas 6-3 secara agregat kepada Selangor.