Manchester United Seri, Penalti Bruno Fernandes Terbang Ke Bulan
MakanBola
Manchester United

Manchester United terus buntu mencari kemenangan pertama musim 2025/26 apabila diikat Fulham 1-1 di Craven Cottage.

Selepas tewas 1-0 di Old Trafford pada minggu lalu, The Red Devils berharap dapat bangkit di London. Seperti United, The Cottagers juga memburu kemenangan pertama selepas mengikat Brighton 1-1.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Bruno Fernandes mengetuai jentera tengah pelawat. Rodrigo Muniz mengetuai jentera serangan tuan rumah.

Babak pertama diselubungi kontroversi apabila United dianugerahkan sepakan penalti oleh Chris Kavanagh. Ini selepas VAR mengesahkan Calvin Bassey menjatuhkan Mason Mount dalam kotak penalti.

Ini mencetuskan bantahan kem Fulham kerana mereka mendakwa Luke Shaw juga menjatuhkan Rodrigo Muniz dalam kotak penalti yang sama.

Meskipun begitu, Kavanagh kekal dengan keputusan beliau. Fernandes yang mengambil sepakan penalti hampa apabila sepakannya gagal menepati sasaran.

The Red Devils akhirnya mendahului menerusi gol sendiri Muniz pada separuh masa kedua. Tandukan Leny Yoro pada minit ke-58 terkena badan Muniz sebelum menerjah jaring.

Gol ini juga dianggap kontroversi kerana Bassey mendakwa Yoro menolaknya semasa membuat tandukan tersebut. Gol tersebut tetap dikira dan United mendahului 1-0.

Kem The Cottagers akhirnya ceria apabila bekas bintang Arsenal, Emile Smith Rowe menyumbat gol penyamaan pada minit ke-73. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Mathijs de Ligt dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.4. Beliau diekori Kenny Tete dan Joachim Andersen yang masing-masing merekodkan 8.2 dan 8.1 mata.

Selepas ini, United akan menentang Grimsby Town untuk aksi pusingan kedua Carabao Cup pada 28 Ogos. Fulham pula akan menentang Bristol City pada hari yang sama.