Masa Depan Badrul Afzan Di Terengganu Masih Belum Ada Kata Putus
MakanBola
Terengganu FC

Pengurusan Terengganu FC belum membuat sebarang kata putus tentang kedudukan jurulatih pasukan itu, Badrul Afzan Razali.

Hal ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peteh, Sheikh Farouk Sheikh Mohamad apabila ditanya tentang masa depan jurulatih itu.

Sebelum ini, kedudukan Badrul sebagai jurulatih Terengganu mula menjadi persoalan disebabkan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu dalam beberapa perlawanan.

Malah, beliau juga telah diminta memberi penjelasan berhubung prestasi longlai pasukan Pantai Timur itu. Antaranya, Peteh terlepas peluang mara ke separuh akhir Piala FA apabila disingkirkan Kuching City FC di peringkat suku akhir.

Apabila ditanya tentang kedudukannya pada ketika itu, Badrul menyerahkan keputusan berhubung masa depannya kepada pengurusan Terengganu.

Sheikh Farouk memaklumkan buat masa ini, belum ada kata putus berhubung status jurulatih itu buat masa ini.

Ini kerana sebarang keputusan perlu diperhalusi Jawatankuasa Teknikal Terengganu dan mendapat kelulusan lembaga pengarah.

“Pertama kali, kita masih berada dalam kelompok lima pasukan terbaik. Jadi, kita masih di nombor empat (dan) berada pada landasan yang betul.

“Apa-apa keputusan tentang barisan kejurulatihan atau figura utama dalam pasukan, kita akan melalui Jawatankuasa Teknikal. Kita juga kena ada kelulusan daripada lembaga pengarah.

“Buat masa sekarang, tiada lagi keputusan yang dibuat. Sekarang, kita fokus kepada pasukan kita untuk perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan,” katanya.

Sheikh Farouk ditemui media selepas Majlis Pengumuman Mills Sebagai Rakan Strategik Kasut Rasmi Terengganu untuk musim 2025/2026.

Selepas tewas 5-0 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT), anak buah Badrul berharap dapat bangkit untuk aksi liga seterusnya menentang Negeri Sembilan FC pada 22 November.