Dua pemain warisan negara, Rodrigo Holgado dan juga Kobe Chong mengharungi nasib berbeza di luar negara.
Holgado merupakan peledak berbisa Harimau Malaya ketika ini dan beraksi di CD America di Colombia.
Beliau mengalami kecederaan baru-baru ini namun sudah kembali dalam skuad utama selepas hampir sebulan diketepikan oleh CD America.
Masa depan Holgado yang juga merupakan peledak handalan pasukan musim lalu menjadi tanda tanya selepas sebuah kelab Argentina, CA Tallerres dilaporkan berminat untuk mendapatkan sentuhan pemain berusia 29 tahun ini.
“Menurut sports programme Deportes Sin Tapujos , kelab Argentina iaitu CA Talleres berminat untuk merekrut penyerang America de Cali Rodrigo Holgado,” ujar laporan tersebut.
Seorang lagi pemain warisan negara iaitu Kobe Chong turut menampilkan prestasi cemerlang bersama kelab baharunya, St Ives Town.
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol pembukaan buat pasukannya ketika tumpas 3-2 kepada Barwell dalam saingan Non League Premier 2025-26.
Beliau bagaimanapun masih belum mendapat panggilan untuk bersama pasukan kebangsaan sungguhpun telah ke Malaysia pada awal tahun ini.
Kobe juga telah membuat pendedahan bahawa belia memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi bapanya.
“Memang betul, ayah saya orang Malaysia dan berasal dari Ipoh. Beliau kemudiannya berhijrah ke England,” katanya kepada Stadium Astro.