Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matt Davies membuat penampilan pertama buat pasukan itu untuk musim 2025/26.
Sebelum ini, pemain pertahanan Harimau Malaya itu terpaksa berehat selama beberapa bulan akibat kecederaan.
Kecederaan itu bukan saja menyebabkan Davies terlepas aksi JDT pada awal musim. Malah, namanya tidak tersenarai dalam senarai pemain pasukan itu untuk kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Isu sama juga menyebabkan Davies terlepas peluang beraksi untuk Harimau Malaya untuk empat aksi antarabangsa pada September dan Oktober.
Selepas menjalani latihan bersama Harimau Selatan sejak bulan lalu, jurulatih JDT, Xisco Munoz memberi peluang buat beliau beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama.
Ini berdasarkan senarai kesebelasan utama aksi suku akhir Piala FA antara Penang FC dan JDT yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
JDT ketika ini mendahului 1-0 menerusi Oscar Arribas dalam aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Bandaraya.