Kemuliaan hati DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor meraikan skuad Palestin sebelum aksi persahabatan menentang Malaysia menjadi sebutan media antarabangsa.
Pada 7 September lalu, baginda berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk solat Maghrib dan solat hajat berjemaah serta meraikan kedua-dua pasukan.
Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan derma kerajaan negeri Johor berjumlah RM2.5 juta kepada Palestin.
Derma kerajaan Johor ini disalurkan menerusi Tabung Kasih Johor-Palestin. Semua sumbangan disampaikan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Kisah Tunku Ismail ini mencuri perhatian portal beIN Sports dan disiarkan di platform rasmi portal berkenaan.
“Sebelum perlawanan persahabatan yang menemukan skuad kebangsaan Malaysia dan Palestin, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengumumkan bantuan kemanusiaan untuk menyokong pembangunan dan kebajikan di Palestin,” kata portal tersebut.
Menariknya, berita ini turut diulang siar Tunku Ismail di platform X. Baginda hanya meletakkan simbol menadah tangan dan hati sebagai tanda syukur kerana dapat membantu Palestin.