Kisah inspirasi pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim mendapat liputan meluas media di dalam negara mahupun antarabangsa.
Faisal Halim kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Malaysia turun bertemu Laos pada aksi ke-4 pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan yang disaksikan oleh hampir 18,000 penonton itu menyaksikan kelibat Faisal Halim menjadi tumpuan ramai di saat Malaysia ketinggalan satu gol kepada Laos pada babak pertama.
Jaringan penyamaan pada minit ke-55 menerusi tendangan percuma Faisal Halim menggamatkan suasana di Bukit Jalil sekaligus mencetuskan semangat kebangkitan buat skuad negara.
Momen penuh beremosi dikongsikan oleh para peminat dan pengamal media ketika mana mengingatkan kembali insiden hitam disimbah asid yang hampir menamatkan karier Faisal Halim
Kini, selepas lebih setahun, sosok individu bernama Faisal Halim kembali bangkit dan mula mendapat rentak di tahap terbaik dan kisah inspirasi ini meraih perhatian media UK, The Sun Football.
Laman berita terkemuka itu menyingkap semula kejadian yang pernah dialami Faisal tahun lalu dan menganggap ini bagaikan satu kisah luar biasa untuk bangkit bermain bola sepak.
“Keberanian luar biasa. Selamat kembali Faisal Halim,” tulis The Sun Football yang miliki lebih 4 juta pengikut di laman Facebook.
Musim ini, Faisal Halim sudah mula mendapat kepercayaan di Selangor FC apabila sudah diturunkan sebanyak 12 kali selain mencetak 5 gol dan membuat 4 bantuan jaringan buat kelab itu.