Melaka Hilang Dua Jurulatih Dalam Tempoh Singkat
MakanBola
Melaka FC

Selepas Datuk K. Devan, Melaka FC kehilangan khidmat penolong jurulatih, S. Subramaniam.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan Devan telah melepaskan jawatan menjelang aksi menentang Selangor FC.

Susulan itu, Subramaniam diberi tugas memimpin Melaka untuk aksi di Stadium MBPJ. Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 3-0 buat Merah Kuning.

Selepas perlawanan, Subramaniam memaklumkan beliau juga akan mengucapkan selamat tinggal kepada Melaka.

“Di sini, saya ingin berterima kasih kepada Presiden Datuk Azmi kerana memberikan saya peluang bekerja selama satu tahun dan sepuluh bulan dan saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

“Bukan kerana pendapatan yang berbeza, tetapi sukar untuk kami bersama Coach Devan untuk bekerja dalam situasi yang cukup sempit.

“Kesukaran ada dengan pemain import yang tak cukup, setiap kali ada kecederaan. Itu membantutkan daya saing pemain dalam perlawanan ataupun pasukan,” katanya.

Situasi ini menyaksikan Melaka FC bakal menghadapi separuh kedua liga dengan jurulatih baharu.