Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mengakui kagum dengan mentaliti juara yang dimiliki Datuk Seri Lee Chong Wei.
Ini kerana meskipun berstatus pemain handalan dalam kariernya, beliau sentiasa menjaga disiplin dan rutin latihan.
Malah, Rashid mendedahkan Chong Wei menjadi orang terakhir yang meninggalkan gelanggang selepas tamat sesi latihan.
“Dia dari umur 18 hingga 19 tahun, saya sudah bersama dengan dia kan. Rutin dia itu (dari segi disiplin), disiplin dia tak lari.
“Walaupun dia sudah jadi pemain nombor satu dunia, enam tahun jadi pemain nombor satu dunia, kalau latihan itu (bermula jam) 7.30 pagi, 7.00 pagi dia sudah ada. Dia takkan lewat.
“Lepas itu, rutin dia selepas habis semua latihan, dia tetap ikut. Kalau sesetengah pemain handalan lepas habis latihan, cepat-cepat balik kan apa semua, dia tak ada. Apa rutin yang dia kena buat, dia buat,” katanya semasa menjadi tetamu Keluar Sekejap.
Rashid turut mendedahkan Chong Wei tetap berlatih meskipun baru pulang daripada menyertai kejohanan antarabangsa. Ini dilihat sebagai usaha beliau mengekalkan prestasinya di gelanggang.
Rashid merasakan mentaliti ini harus dicontohi pemain-pemain muda Malaysia jika mereka ingin berjaya seperti Chong Wei.
“Ada satu masa itu, contoh balik (kejohanan) All England, bila sampai itu kita nak rehat. Jurulatih pun nak rehat kan dua, tiga hari tiada.
“(Sekali dia beritahu), ‘Coach, esok saya nak berlatih.’ Sebagai pemain handalan dengan pemikiran macam itu, memang dia pentingkan prestasi.
“(Dia ada) mentaliti juara. Itu yang tiada pada pemain-pemain lain,” ujarnya.
Mentaliti ini bukan saja menjadikan Chong Wei antara pemain handalan yang digeruni di atas gelanggang. Malah, beliau juga turut melakar pencapaian tiga pingat perak di pentas Sukan Olimpik.