Mentor Peter Cklamovski, Ange Postecoglou kembali mewarnai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dilantik sebagai pengurus baharu Nottingham Forest.
Pelantikan jurulatih Australia berusia 60 tahun itu disahkan pengurusan Forest menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.
“Nottingham Forest dengan sukacitanya mengesahkan pelantikan Ange Postecoglou sebagai ketua jurulatih skuad utama kelab.
“Postecoglou telah berada dalam bidang pengurusan selama 25 tahun, tiba di Trentside dengan pengalaman kerap bersaing dan memenangi trofi di peringkat tertinggi,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Postecoglou has been in management for over 25 years, arriving on Trentside with experience of regularly competing and winning trophies at the highest level.
Postecoglou cukup dikenali peminat EPL kerana gemar menggunakan corak menyerang semasa bersama Spurs. Antara pencapaian terbaik beliau ialah trofi Liga Europa UEFA (UEL) musim 2024/25.
Meskipun begitu, prestasi buruk Tottenham Hotspur pada musim lalu menyaksikan kelab itu menamatkan musim di tangga ke-17 liga.
Situasi ini menyebabkan pengerusi Spurs ketika itu, Daniel Levy memecat bekas jurulatih Yokohama F. Marinos itu susulan prestasi buruk pada musim berkenaan.
Susulan itu, Levy kemudiannya membawa masuk bekas jurulatih Brentford, Thomas Frank sebagai jurulatih baharu kelab utara London itu.
Postecoglou dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya, Nuno Espirito Santo. Nuno dipecat selepas dilihat tidak sehaluan dengan pengurusan kelab terutama pemilik, Evangelos Marinakis.
Beliau juga dilaporkan tidak sehaluan dengan bekas pengarah sukan Arsenal, Edu. Ini selepas beberapa perpindahan yang cuba direncanakan Nuno dihalang legenda The Gunners itu.
Postecoglou dikenali ramai peminat Harimau Malaya sebagai mentor Cklamovski dalam karier kejurulatihannya. Kedua-duanya pernah bekerjasama semasa beliau melatih Australia dan Marinos.