Kapten pasukan Israel mendakwa pasukan itu disumpah lawan mereka, Itali sepanjang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah pada September lalu.
Dakwaan itu dibuat bek kanan NEC Nijmegen, Eli Dasa. Dasa mendakwa pemain-pemain Itali kelihatan beremosi dan sentiasa mencetuskan provokasi dengan mereka.
Malah, pemain pertahanan berusia 32 tahun itu mendakwa hal ini turut mencetuskan pertelagahan antara kem kedua-dua pasukan selepas perlawanan.
“Pertelagahan tercetus (antara pemain kedua-dua pasukan), mereka sangat beremosi,” katanya seperti dilaporkan Sport5 menerusi Football Italia.
“Mereka rasa mereka tidak berada dalam perlawanan dan kami berhak untuk menang. Mereka cuba cetuskan sedikit provokasi, ia sebahagian daripada perlawanan.”
Israel selepas itu mendakwa beberapa pegawai kem Itali kemudiannya tampil memohon maaf berhubung insiden tersebut. Walau bagaimanapun, ia dinafikan Itali menerusi satu lagi laporan Football Italia.
Bukan sekali Itali menyuarakan ketidakselesaan mereka menentang Israel susulan keganasan yang dilakukan rejim tersebut ke atas warga Palestin.
Malah, hal ini turut mendorong jurulatih Itali, Gennaro Gattuso membidas FIFA dan UEFA kerana bersikap hipokrit dari segi tindakan ke atas Russia dan Israel.
Itali memastikan Israel sah tidak layak ke Piala Dunia 2026. Selepas menewaskan mereka 5-4 pada September lalu, Azzurri meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas lawan sama di Stadio Friuli.