MFL Denda PDRM & Kelantan TRW RM70 Ribu
MakanBola
Kelantan TRW FC

Malaysian Football League (MFL) telah mengenakan denda buat kali ketiga ke atas Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dan PDRM FC.

Hukuman tersebut diputuskan First Instance Body (FIB) selepas kedua-dua pasukan itu dilihat masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji sejak dari musim lalu.

Isu ini dikesan FIB dan turut disahkan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) menerusi kerjasama dengan Unit Financial Fair Play Malaysian Football League (FFP MFL).

Pada 16 Oktober lalu, PDRM dan Kelantan TRW didapati gagal menghantar borang deklarasi tunggakan atau tiada tunggakan gaji kepada FIB.

Meskipun telah diberi dua surat amaran, kedua-dua pasukan masih gagal melangsaikan tunggakan gaji mereka. Lantas, kedua-dua pasukan didenda RM10,000 dan diberi tempoh 14 hari untuk melangsaikan tunggakan berkenaan.

Malangnya, tiada sebarang pelan pembayaran atau resit pembayaran dikemukakan Kelantan TRW dan PDRM. Akibatnya, kedua-dua pasukan dikenakan denda kali kedua sebanyak RM20,000.

Selepas masih tiada sebarang maklum balas daripada Kelantan TRW dan PDRM, kedua-dua pasukan didenda buat kali ketiga dengan nilai RM40,000. Ini menjadikan jumlah denda kedua-dua pasukan ialah RM70,000.

Selain denda RM40,000, kedua-dua kelab juga dikenakan sekatan perpindahan untuk tetingkap kedua Liga Malaysia (Liga M). Mereka turut diberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk menyelesaikan semua tunggakan mereka.

Sekiranya masih gagal berbuat demikian, FIB bakal mengenakan tindakan lebih tegas ke atas kedua-dua pasukan itu.

Ini selaras dengan usaha MFL menguatkuasakan peraturan kewangan liga dan membasmi isu kewangan dalam kalangan kelab Liga Super.