MFL Tambah Kuota 3 Pemain Tempatan
MakanBola
MFL

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tambahan kuota 3 pemain tempatan untuk didaftarkan oleh setiap kelab Liga Malaysia 2025-2026.

Menerusi sebuah kenyataan oleh MFL pada Jumaat, seramai 3 orang pemain tempatan dibenarkan untuk didaftarkan bagi menambah jumlah keseluruhan pemain dalam suatu pasukan kepada 33 pemain.

MFL mengumumkan tambahan kuota 3 pemain tempatan bagi menjadikan keseluruhan 33 pemain boleh didaftarkan oleh semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2025-2026,” ujar badan pengelola liga itu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mempertimbangkan permintaan untuk menambah kuota pemain tempatan khususnya daripada kelab Liga A1 Semi-Pro yang baharu dinaikkan taraf ke Liga Super musim ini.

Ini kerana kelab-kelab berkenaan pada musim pertama diberikan pengecualian daripada memiliki pasukan pembangunan (Piala Presiden, Piala Belia, Bawah 17 Tahun dan Bawah 10 Tahun) selain pemansuhan Piala MFL bagi musim 2025-2026.

Justeru, MFL melihat tambahan kuota 3 pemain tempatan ini dapat memberi suatu tambahan pilihan pemain kepada kelab yang tidak miliki skuad pembangunan ini bagi terus bersaing musim ini.

Walau bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut memutuskan bahawa kelab-kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi tambahan 3 kuota pemain tempatan yang diumumkan ini.

Sebaliknya, pindaan ini bergantung kepada keperluan serta kemampuan kewangan kelab masing-masing di mana pada musim ini pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus.

Dengan tambahan kuota 3 pemain tempatan ini menjadikan komposisi pemain bagi kelab Liga Malaysia musim ini adalah 33 pemain keseluruhan, terdiri daripada 18 pemain tempatan dan 15 pemain asing.

Kesemua kelab yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia ini boleh mendaftarkan pemain sehingga tarikh tutup jendela pertama perpindahan pemain pada 31 Ogos 2025 hadapan.