Misi Getir Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Harimau Malaya memiliki misi besar untuk melengkapkan rekod bersih di Kelayakan Piala Asia 2027.

Skuad kendalian Peter Cklamovski cemerlang menduduki tangga teratas Kumpulan F selepas lima perlawanan dengan 15 mata – 3 mata terpisah dengan pasukan kedua, Vietnam.

Hanya satu slot bagi setiap kumpulan bakal membawa pasukan untuk ke pentas Piala Asia 2027 yang menjadi rebutan pasukan kebangsaan ketika ini.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih berbaki satu cabaran hebat tatkala bakal ke gelanggang lawan untuk bertemu jaguh Asia Tenggara, Vietnam bagi aksi terakhir kumpulan.

Harimau Malaya cemerlang menewaskan pasukan Bintang Pahlawan Emas pada perlawanan kedua kumpulan pada Jun lalu dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia sebelum ini berjaya menamatkan penantian selama hampir 11 tahun untuk mencatatkan kemenangan ke atas Vietnam namun rekod lima perlawanan terakhir kekal menjadi milik anak buah Kim Sang-sik.

Vietnam masih merekodkan empat kemenangan dalam lima pertemuan terakhir dengan pasukan kebangsaan dan menjadi tonik terbaik beraksi di laman sendiri pada Mac 2026.

Kemas kini ranking FIFA terbaru menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-121, jatuh lima anak tangga sementara Vietnam naik tiga tangga ke kedudukan 107 dunia.