Teka-teki tentang ketiadaan kapten Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Ifedayo Olusegun akhirnya terjawab.
Sebelum ini, ramai penyokong Kelantan TRW merasa hairan tentang ketiadaan bekas Pemenang Kasut Emas Liga Super itu.
Ini kerana kelibat Ifedayo tidak kelihatan baik di padang latihan mahupun dalam beberapa aksi Liga Super pasukan itu.
Ini mencetuskan spekulasi perpindahan membabitkan bekas penyerang Selangor FC itu menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).
Kini, penolong pengurus The Real Warriors, Zahar Ab Kadir memaklumkan Ifedayo tiada kerana menguruskan isu visa membabitkan keluarganya.
“Selepas kita melawan KL City di Cheras pada hari itu (1 November lalu), beliau memohon cuti.
“Saya sebagai penolong pengurus Kelantan mendapat info beliau memang memohon cuti. Beliau tidak kembali ke Kelantan kerana ada masalah visa untuk membawa keluarganya untuk datang (ke Malaysia),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Isu tersebut menyebabkan pasukan Pantai Timur itu tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk aksi menentang Selangor.
Zahar turut mengesahkan ketua jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan direhatkan oleh pengurusan pasukan itu.
Beliau memaklumkan pengurusan The Real Warriors bakal mengadakan sidang media bagi menjelaskan status bekas jurulatih Malaysia B-23 itu.