Pemain sayap berbisa Liverpool, Mo Salah membidas tindakan sebuah akaun media sosial penyokong pasukan itu yang memperlekeh dua bekas rakan sepasukan beliau.
Akhbar Daily Mail melaporkan Salah merasa kurang senang dengan tindakan akaun Anfield Edition yang membandingkan Luis Diaz dan Darwin Nunez dengan dua pemain baharu Liverpool, Alexander Isak dan Florian Wirtz.
Perbandingan tersebut dibuat dengan kenyataan yang berbunyi, “Namakan penaiktarafan terbesar dalam sejarah bola sepak.”

Tidak lama selepas ciapan itu dibuat di platform X, Salah hanya menghantar ciapan ini, “Apa kata kita raikan pemain-pemain baharu yang hebat tanpa memperlekeh (pemain-pemain) juara EPL?”
Ramai penyokong The Reds memuji teguran yang dibuat beliau terhadap akaun tersebut. Susulan itu, Anfield Edition kemudiannya memohon maaf atas keterlanjuran mereka.
Ini bukan kali pertama Salah menegur sikap buruk penyokong Liverpool. Sebelum ini, bekas penyerang Chelsea itu turut menegur kelompok kecil penyokong yang memberi layanan dingin kepada Trent Alexander-Arnold.
Diaz dan Nunez masing-masing merekodkan 148 dan 143 penampilan bersama pasukan Merseyside itu.
Selain membantu Liverpool bergelar juara liga, mereka turut membantu The Reds bergelar juara Piala EFL dan bergelar finalis Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2021/22.
Diaz dan Nunez masing-masing kini beraksi untuk Bayern Munich dan Al-Hilal.