Mohamed Ghaddar Bawa Peranan Baharu Bersama Kelantan TRW
MakanBola
Kelantan The Real Warrior FC

Bekas penyerang import Kelantan, Mohamed Ghaddar kini menggalas peranan baharu bersama Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC).

Sebelum ini, Presiden Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan Ghaddar akan kembali ke Kelantan bersama pemain pertahanan Syria, Muayad Al-Khouli beberapa hari lalu.

Walau bagaimanapun, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu tidak mendedahkan sebab bekas penyerang Lubnan itu kembali ke negeri Pantai Timur itu.

Kini, pengurusan Kelantan TRW memaklumkan Ghaddar kini menggalas peranan sebagai mentor kepada para pemain terutama pemain import pasukan itu.

“Kehadiran Ghaddar bukan sahaja menyuntik semangat kepada para pemain, malah turut menjadi pemangkin dalam memperkukuh semula budaya kemenangan dan disiplin dalam skuad,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kesemua 10 tenaga import yang menyertai Kelantan TRW juga sudah mula menjalani latihan bersama pasukan itu.

Antara pemain import Kelantan TRW untuk kempen musim 2025/26 ialah Muayad, Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Hein Htet Aung dan Damyan Damyanov.