Bekas penyerang import Kelantan, Mohamed Ghaddar luah rasa geram terhadap barisan kepimpinan Kelantan The Real Warrior dengan menyebut nama Presiden dan juga CEO.
Luahan itu ditulis oleh Mohamed Ghaddar selepas kecewa dengan pihak pengurusan Kelantan The Real Warrior yang tidak menghargai usaha beliau membawa pemain import dari Syria.
Menurut Ghaddar, beliau memberikan komitmen yang baik bagi membantu pasukan dari Pantai Timur itu namun telah menjadi pengalaman yang buruk sepanjang berada dalam dunia bola sepak.
“Saya datang ke sini (Kelantan) dengan komitmen penuh untuk membantu kelab (Kelantan The Real Warrior) dan presidennya,” tulis Mohamed Ghaddar.
“Malah menggunakan wang saya sendiri untuk membawa pemain Syria itu (Moaiad Alkhouli), percaya dengan projek yang mereka janjikan.”
“Malangnya, ini ternyata menjadi salah satu pengalaman terburuk yang saya alami dalam bola sepak.”
Kekecewaan Mohamed Ghaddar itu ditujukan khas kepada Presiden Kelab, Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan tidak jujur dan membuat janji palsu kepada beliau dan juga Moaiad Alkhouli.
Selain itu, beliau turut mengatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan The Real Warrior iaitu Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah tidak membalas sebarang mesej yang dikirim olehnya.
“Presiden (Tan Sri Annuar Musa) tidak jujur dan melakukan banyak janji palsu. Sekarang, beliau dan CEO telah berhenti membalas mesej saya.”
“Pihak pengurusan telah menunjukkan professionalisme sifar, gagal memuktamadkan tandatangan, dan meninggalkan saya untuk menangani akibatnya.”
“Saya kembali dengan pemain itu (Moaiad Alkhouli), kecewa tetapi tetap dengan prinsip saya. Ini adalah kelab terburuk yang pernah saya tangani,” ujar Mohamaed Ghaddar kecewa.

Untuk rekod, Mohamed Ghaddar baru-baru ini diumumkan selaku mentor kepada pemain pasukan Kelantan The Real Warrior ini dan diperkenalkan oleh Tan Sri Annuar Musa dua minggu lalu.