MPFL: JDT Jadikan KL City ‘Mangsa’ Amukan
UltraSukan
JDT Futsal

Johor Darul Ta’zim (JDT) kini semakin hampir untuk bergelar juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) setelah mudah mengatasi cabaran KL City.

Aksi MPFL minggu ke-12 pada Sabtu menyaksikan JDT turun bertandang ke ibu kota berdepan KL City dalam misi penting untuk kekalkan rekod bersih dan pertahankan kejuaraan liga.

Tiada perubahan dalam senarai pemain pasukan JDT dengan duo Bruno Taffy dan Caio Cesar kekal jadi taruhan tatkala KL City pula tagih bisa Daniel Almeida bagi menembusi gawang lawan.

Bruno Taffy menjadi watak penting untuk JDT di permulaan babak pertama apabila cemerlang mencetak dua gol ketika awal permainan untuk memastikan pelawat selesa di depan 2-0.

Tidak lama kemudian, Firdaus Ambiah menambah kelebihan buat pasukan pelawat dengan jaringan ketiga hasil satu voli kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol KL City, Arif Alias.

Tuan rumah akhirnya menemui cara untuk menjaringkan gol pertama menerusi rembatan deras Daniel Almeida sebelum Caio Cesar menceriakan kem JDT dengan satu lagi jaringan.

Separuh masa pertama tamat, KL CIty 1-4 JDT.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan ini tampak makin mengganas meskipun sudah mendahului selesa malah berjaya meledak 3 gol menerusi Firdaus Ambiah, Abu Haniffa dan Syed Aizad.

Awalluddin Mat Nawi menambah gol ke-8 JDT hasil gerakan satu dua menarik bersama Ridzwan Bakri sebelum tonggak kelahiran Sabah itu pula mencetak gol untuk kedudukan 9-1.

Kenduri gol JDT berterusan lagi dengan kali ini Abu Haniffa pula melakar nama sebagai penjaring ke-10 untuk pasukan JDT dan Syahid Ajid cuba untuk merapatkan defisit buat KL City.

Walau bagaimanapun, Ridzwan Bakri menutup malam yang gemilang untuk skuad Harimau Selatan ini dengan jaringan ke-11 pada minit-minit akhir permainan hasil satu serangan balas.

Aksi tamat, KL City 2-11 JDT.