Skuad futsal Selangor FC melewatkan keraian Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar juara Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) selama seminggu lagi.
Ini selepas Selangor membelasah Sabah 5-0 dalam aksi terbaru Divisyen 1 di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu.
Merah Kuning perlu menang di Kota Kinabalu jika mahu melewatkan usaha JDT bergelar juara. JDT pula mengharapkan Sabah mengejutkan pelawat kerana itu sudah cukup untuk pasukan gergasi selatan itu bergelar juara.
Sebaik perlawanan bermula, Sabah yang dibimbing Roger Filipe Gouveia Augusto berusaha memberi tekanan ke atas gawang Selangor.
Situasi ini memaksa barisan pelawat diketuai Khairul Effendy Bahrin berusaha menyekat serangan Sabah diketuai Vitor Manuel da Silva.
Selangor akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Haiqal Hasnor. Gol tersebut mendorong anak buah Augusto memberi tekanan kepada gawang pelawat yang dikawal Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln.
Sabah hampir menyamakan kedudukan menerusi Dzul Idzwanizam Madin. Malangnya, percubaan beliau gagal menepati sasaran.
Sebaliknya, giliran Selangor menggandakan kelebihan mereka menerusi Khairul Effendy. Kelebihan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Khairul Effendy terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Sabah.
Beliau berjaya menewaskan penjaga gol Sabah, Ahzar Aris untuk menyumbat gol ke-10 dalam Divisyen 1 musim 2025.
Tidak lama selepas itu, giliran pemain futsal kebangsaan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan pula mencetak nama sebagai penjaring.
Vitor Fernando dos Santos memastikan kemenangan besar milik Selangor dengan melakukan lambungan bola ke arah gawang Sabah yang kosong. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor hanya dipisahkan enam mata dengan JDT menerusi 30 mata. Sabah pula kekal di tangga keempat dengan 17 mata.
Selangor akan menentang Pahang Rangers pada 5 Julai. Sabah pula akan berdepan Harimau Selatan pada hari yang sama.