Bekas pemain pertahanan Malawi dan Magesi FC, Mzawa Limbikani sah milik Penang bagi musim 2025-2026.
Mzawa Limbikani merupakan rekrut terbaharu pasukan Penang bagi mengisi posisi pertahanan tengah yang ditinggalkan oleh Rafael Victor dan disahkan oleh pihak pengurusan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Penang memperkenalkan kehadiran Mzawa Limbikani selaku rekrut ke-7 skuad Harimau Kumbang menjelang musim baharu akan datang.
Pemain berusia 31 tahun tersebut memulakan karier di Escom United, Malawi selama dua tahun sebelum berpindah ke Afrika Selatan bagi menyertai beberapa kelab di sana.
Kelab-kelab yang pernah diwakili Limbikani ialah B.Fontein Celtic, M. Black Aces, Golden Arrows, Highlands Park, Amazulu dan Magesi.
Limbikani yang mempunyai 231 penampilan karier bolasepak bersama kelab telah menjaringkan 5 gol dan 4 bantuan jaringan secara keseluruhan sekaligus membuktikan kemampuan di bahagian pertahanan.
Limbikani turut mempunyai 64 penampilan bersama pasukan kebangsaan Malawi dan mencatat debut pada 19 Disember 2009 selain memiliki dua jaringan bersama The Flames.
Skuad Penang telah membawa masuk ramai muka baharu bagi musim 2025-2026 seperti Stefano Brundo dan Tchetche Kipre bagi merebut kedudukan liga yang lebih baik.
Penang bakal membuka perlawanan Liga Super 2025-2026 dengan bertemu pasukan Terengganu di Stadium Bandaraya dan bakal berkunjung ke Melaka di Stadium Hang Jebat bagi menghadapi aksi kedua nanti.