Nacho Mendez Dijangka Tidak Hadapi Masalah Adaptasi Cara Malaysia
MakanBola
RSDG/MNT

Bekas jeneral tengah Sporting Gijon, Nacho Mendez dijangka cepat menyesuaikan diri bersama Harimau Malaya apabila menerima panggilan pasukan itu.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, S. Subramaniam berpandangan sedemikian apabila ditanya tentang cabaran yang akan dihadapinya bila menyertai Harimau Malaya.

Mendez kini dalam proses akhir mendapatkan kerakyatan Malaysia seperti yang dilaporkan media pada 8 Julai lalu.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, pemain berusia 27 tahun itu berpeluang menyertai Harimau Malaya dalam saingan CAFA Nations Cup pada penghujung Ogos ini.

Subramaniam percaya dengan kehadiran ramai pemain berpangkalan di luar negara dalam Harimau Malaya, itu akan membantu Mendez menyesuaikan diri.

“Tidak ada masalah untuk dia mengadaptasikan diri dia dengan pasukan kebangsaan. Dengan kehadiran ramai pemain warisan dan naturalisasi, itu akan memberi lebih banyak kestabilan kepada pasukan kebangsaan.

“Senang dia nak beradaptasi dengan skuad kebangsaan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Bekas kapten Gijon itu turut dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT). Mendez dilapor akan memeterai kontrak selama tiga tahun bersama Harimau Selatan.