Nacho Mendez Teruja Jika Dapat Peluang Wakili Harimau Malaya
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Nacho Mendez berkongsi rasa gembira sekiranya diberikan peluang mewakili Malaysia dan menyarung jersi Harimau Malaya.

Nama Nacho Mendez menjadi bualan ramai penyokong bola sepak tanah air sebelum ini ketika beliau menyertai pasukan JDT dan disahkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia.

Difahamkan, datuk beliau berasal dari Pulau Pinang sekaligus melayakkan pemain berusia 28 tahun ini tampil buat pasukan kebangsaan selain Cuba dan negara kelahiran Mendez iaitu, Sepanyol.

Menerusi temu bual bersama Futbolita minggu lalu, Mendez menjelaskan bahawa terdapat peluang untuk beliau bermain bersama skuad kebangsaan Malaysia kerana darah warisan yang dimilikinya.

”Ya, saya tak tahu (sama ada dipanggil atau tidak), mungkin adanya peluang secara logiknya (kerana ada darah warisan),” kata Mendez.

”Kemudian, kita boleh saksikan apa yang akan berlaku ketika jendela antarabangsa FIFA nanti,” ulas bekas kapten Sporting Gijon itu selepas aksi bertemu Lion City Sailors minggu lalu.

Bagi Mendez sendiri, peluang untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya adalah satu penghormatan besar dan begitu teruja sekiranya dapat membawa nama Malaysia nanti.

”Tetapi menurut saya, ini (mewakili Malaysia) bagaikan suatu penghormatan dan saya rasa sangat teruja seandainya dapat melakukannya (menyarung jersi Harimau Malaya).”

Sejak tiba di JDT, Nacho Mendez menjadi antara nadi penting di jentera tengah pasukan dengan merekodkan 5 penampilan dan 3 bantuan jaringan dalam kesemua kejohanan musim ini.

Berbekalkan statistik ini, tidak mustahil nama Mendez berada dalam pemantauan Peter Cklamovski serta staf kejurulatihan Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan pada awal September.

Pasukan Harimau Malaya akan turun bermain dalam dua aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin pada 4 serta 8 September ini masing-masing di Kuala Lumpur dan Johor.

Sehingga kini, senarai panggilan pemain skuad kebangsaan masih belum dikeluarkan oleh pihak Malaysia National Team tatkala hanya Gabriel Palmero serta Rodrigo Holgado sahaja yang sudah pasti.