Nafuzi Zain Ada Jawapan Malaysia B-23 Tewas Kepada Thailand
MakanBola
Malaysia NT

Ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain melihat kesilapan di penghujung perlawanan menjadi faktor kekalahan kepada Thailand pada Selasa.

Perlawanan terakhir kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 menemukan Thailand dan Malaysia dengan kedua-duanya turun membawa misi wajib menang untuk layak ke kejohanan itu tahun hadapan.

Malangnya, skuad muda negara terpaksa akur terlepas slot apabila tumpas 2-1 kepada Thailand hasil dua jaringan oleh Kakana Khamyok pada minit ke-33 dan juga ketika masa tambahan.

Malaysia tampil baik untuk memberikan saingan kepada tuan rumah dan berhasil untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40 menerusi sepakan voli berpunca dari tendangan sudut.

Menurut Nafuzi Zain, prestasi pemain Malaysia B-23 buatkan beliau berpuas hati ketika mana kedua-dua pasukan tampak berusaha mencuba beraksi sehabis baik di atas padang yang basah.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi para pemain saya malam ini. Saya rasa kedua-dua pasukan bermain dengan baik. Bukan mudah bermain di padang selepas hujan lebat,” ujar Nafuzi Zain di sesi sidang media.

“Saya rasa kedua-dua pasukan tidak dapat bermain dan menunjukkan corak permainan sebenar. Kebanyakannya lebih kepada hantaran terus daripada kedua-dua pasukan.”

“Saya tahu ini bukan sesuatu yang mudah untuk bermain dalam keadaan itu (padang lecak dan basah),” ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, pemain-pemain muda negara ini sudah memberikan aksi terbaik dengan deretan peluang dicipta di sepanjang 90 minit permainan yang berupaya menghasilkan gol.

“Kami (Malaysia B-23) bermain dengan baik dan mempunyai banyak peluang jelas untuk menjaringkan gol.”

Walau bagaimanapun, Nafuzi Zain melihat faktor kesilapan telah memberikan ruang untuk Thailand menjaringkan gol kemenangan di minit akhir permainan hasil serangan balas pantas.

“Akan tetapi pada akhirnya, kami melakukan kesilapan untuk membenarkan pihak lawan menyumbat gol. Itulah sebabnya kami tewas 2-1 pada minit akhir,” jelas Nafuzi Zain.

“Dari segi keputusan, saya rasa kecewa namun, terhadap komitmen pemain malam ini, saya sangat berbangga.”

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di kedudukan ke-3 dengan mengumpul 3 mata hasil satu kemenangan.