Jurulatih pasukan Malaysia B-23, Nafuzi Zain mahu memberi tumpuan menjelang perlawanan pembukaan Piala Mandiri B-23 ASEAN bertemu Filipina demi misi 3 mata pertama.
Skuad muda Malaysia yang diundi di dalam kumpulan A akan menentang tuan rumah, Indonesia bersama dua lagi pasukan iaitu Filipina dan Brunei bagi menentukan hala tuju negara ke pusingan kalah mati.
Menurut Nafuzi Zain, cabaran berada di dalam kumpulan ini pastinya sukar apabila turut dibarisi 3 buah negara yang tak kurang hebatnya sebelum berhajat ke peringkat seterusnya.
”Kumpulan A adalah kumpulan yang agak sukar kerana kita tahu lawan pasukan Indonesia, Filipina dan Brunei bukanlah satu tugas yang mudah,” kata Nafuzi Zain.
”Kita akan cuba lakukan yang terbaik bagi mara ke pusingan seterusnya dan saya teruja untuk memulakan kejohanan AFF kali ini.”
Tambahnya, dengan hanya 6 pemain yang berpengalaman di peringkat antarabangsa, Nafuzi ingin fokus Malaysia B-23 ini tertumpu ke arah aksi pertama bertemu Filipina pada Selasa.
”Ini adalah tugas baharu buat saya di peringkat antarabangsa dan untuk Malaysia, kebanyakan pemain muda yang dibentuk bagi kejohanan ini dengan hanya 6 orang pemain senior.”
”Apa-apa pun untuk permulaan, fokus kita untuk bertemu Filipina sebagai cabaran pertama kita akan hadapi dan sasaran kita semestinya melangkah ke perlawanan akhir.”
”Tetapi aksi pertama menjadi penentu, yang penting sasaran kita bagi mara ke separuh akhir terlebih dahulu dan sebelum menentang Brunei dan Indonesia.”
Skuad muda negara bakal memulakan kempen Piala Mandiri B-23 ASEAN menentang Filipina pada 15 Julai hadapan dan akan hadapi Brunei 3 hari kemudian di Stadium Gelora Bung Karno.
Ujian sebenarnya buat pasukan Malaysia B-23 adalah pada aksi terakhir kumpulan A menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai yang dijangka menjadi perlawanan penentuan juara kumpulan.