Nafuzi Zain: Gol Brunei Tak Sepatutnya Berlaku
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain mengakui gol tunggal Brunei ketika aksi Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23 menentang anak buahnya tidak sepatutnya berlaku.

Aksi kedua Kumpulan A menyaksikan Malaysia memerlukan kemenangan selepas dikejutkan Filipina 2-0.

Skuad negara mendahului 4-0 pada babak pertama menerusi Danish Syamer, gol sendiri Nazry Aiman, Haykal Danish Mohamad Haizon dan Haqimi Azim Rosli.

Malaysia makin selesa mendahului 5-0 menerusi Danish Haqimi. Kelekaan barisan pertahanan membuka ruang buat Haziq Naqiuddin menyumbat gol tunggal Brunei.

Fergus Tierney dan Haqimi menyumbat gol bagi memastikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan keputusan 7-1.

Meskipun gembira dengan persembahan anak buahnya, Nafuzi menyifatkan gol tunggal Brunei tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana gol tersebut berpotensi memberi kerugian kepada Malaysia terutama menjelang aksi terakhir kumpulan.

“Dibolosi walaupun kita menang besar, itu adalah satu kerugian kepada pasukan. Kita perlu mengelak dari segala yang terjadi dan pengajaran (kepada pemain) agar jangan ambil mudah.

“(Kita) dibolosi gol Brunei tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.

Malaysia kini membawa misi wajib menang ke atas negara jiran, Indonesia jika mahu layak ke peringkat separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23.