Stadium Negeri Sarawak bakal menjalani proses naik taraf dengan kos mencecah RM7.05 juta.
Perkara ini didedahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau memaklumkan kerja naik taraf ini meliputi kerja penambahbaikan pada bahagian tempat duduk, fasiliti dan kemudahan.
Ini termasuk laluan masuk ke dalam stadium, skrin LED dan menaik taraf lampu LED yang digunakan di Stadium Negeri Sarawak.
Selain itu, padang stadium juga bakal dinaik taraf. Ini selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan RM500,000 kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk kerja berkenaan.
Hal ini dinyatakan beliau dalam penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching pada 2 Disember lalu.
Selain itu, Abdul Karim turut mendedahkan Sarawak mengeluarkan peruntukan RM350 juta untuk penganjuran 17 acara sukan dan majlis perasmian Sukan SEA 2027.