Nama Arif Aiman Jadi Sebutan Dua Jurulatih Hebat Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman mendapat perhatian daripada dua jurulatih terkemuka di pentas Asia.

Aksi Arif Aiman sekali lagi memukau mata peminat-peminat apabila pemain berusia 23 tahun ini sudah pun merekodkan 8 jaringan dan 13 ‘assists’ musim ini buat JDT dalam semua kejohanan.

Gerakan lincah dari sebelah sayap oleh Arif Aiman sering kali mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan kemahiran dan larian deras bersama bola dan menyumbang kepada jaringan penting buat JDT.

Salah seorang jurulatih yang meluahkan rasa kagum dengan bakat Arif Aiman adalah pengendali Shanghai Shenhua yang menganggapnya sebagai pemain yang berkemahiran tinggi di pentas ACLE.

“Bagi saya, ini bukan tentang hilang fokus kerana sebenarnya pemain JDT nombor 42 (Arif Aiman), saya rasa dia mungkin pemain paling berbakat dalam ACLE,” luah jurulatih Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky.

”Dia yang mengubah segala-galanya (keputusan perlawanan antara JDT vs Shanghai Shenhua),” ujar pengendali kelahiran Russia selepas aksi pada 5 November lalu.

Baru-baru ini juga, ketua jurulatih Melbourne City memetik nama Arif Aiman sebagai pemain yang cukup menakjubkan meskipun kelibat bintang muda itu tidak diturunkan akibat kecederaan.

“Keseluruhannya, JDT diperkuat pemain asing yang bagus dan pastinya pemain seperti Arif Aiman yang menakjubkan bakal menjadikan (aksi yang) mencabar,” kata Aurelio Vidmar ketika sidang media aksi Melbourne vs JDT.

Buat masa ini, Arif Aiman masih di dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika aksi berdepan Nepal yang membuatkan beliau terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-8.