Nama pemain sayap Harimau Malaya, Imanol Machuca terus menjadi sebutan dalam saingan liga Argentina.
Sebelum ini, Machuca membantu pasukannya, Velez Sarsfield meraih kemenangan 2-1 ke atas Club Atletico Tigre dalam aksi pembukaan Argentine Primera Division.
Pemain sayap berusia 25 tahun itu mencetak satu gol dan mencipta satu bantuan gol. Impaknya kepada El Fortin turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.
Kini, peminat bola sepak Argentina memilih Machuca antara pemain yang tersenarai dalam kesebelasan terbaik mingguan Argentine Primera Division.
Menariknya, turut berada dalam kesebelasan sama ialah bekas bintang Manchester United, Angel Di Maria.
Di Maria terpilih atas undian peminat selepas membuat penampilan pertama bersama Rosario Central pada 13 Julai lalu. Beliau membantu Rosario mengikat Godoy Cruz 1-1.
Pengiktirafan ini dijangka membakar semangat Machuca selepas ini. Beliau dan Velez akan berdepan Platense dalam aksi terbaru liga pada 20 Julai ini.