Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menjangkakan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal diketahui sebelum aksi Vietnam menentang Harimau Malaya pada Mac 2026.
Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang tempoh keputusan rayuan FAM dan tujuh pemain negara ke CAS akan diketahui.
Yusoff menjangkakan keputusan itu akan dibuat sebelum aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F membabitkan skuad negara dan Vietnam.
Ini kerana ini akan memudahkan AFC untuk membuat cabutan undi kumpulan pasukan-pasukan yang layak ke kejohanan berprestij di Asia itu.
“Kalau ikut faktor pertandingan ini, sebab kita terlibat dengan kelayakan AFC (kelayakan Piala Asia) ini, yang aksi terakhir kita adalah bulan Mac bersama dengan Vietnam,” katanya.
“Jadi, saya jangkakan keputusan (CAS) mesti dibuat sebelum perlawanan akhir kita dengan Vietnam (dalam Kumpulan F). Sebab lepas tu AFC nak buat cabutan untuk pertandingan itu.
“Jadi, mesti ada keputusan. Saya fikir FIFA pun sudah maklumkan perkara ni atau AFC sudah maklumkan. Mereka perlukan keputusan sebelum perlawanan terakhir Malaysia.”
Yusoff turut memaklumkan keputusan CAS juga akan mempengaruhi pelbagai keputusan FAM lain pada 2026 termasuk menghantar pasukan bersaing di pentas Sukan Asia.
Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia mengetuai Kumpulan F dengan 15 mata selepas mengekalkan rekod kemenangan 100%.
Ini selepas Harimau Malaya menewaskan Nepal dalam aksi kelima kumpulan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada November lalu.