Susulan kenyataan tular oleh jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski baru-baru ini, Datuk Wira Yusoff Mahadi sebagai Pemangku Presiden FAM serahkan segala keputusan kepada Lembaga Disiplin.
Peter Cklamovski menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan sejak beberapa hari lalu selepas jurulatih kelahiran Australia itu mengeluarkan kenyataan yang dilihat mengkritik FAM.
”Segala kekacauan yang berlaku dengan FIFA ini, kesilapan pentadbiran atau apa sahaja yang terjadi di situ, itu urusan FAM, bukan Tunku Ismail,” kata Peter Cklamovski selepas aksi bertemu Laos 9 Oktober lalu.
Para peminat beranggapan Peter Cklamovski seakan tidak menghormati FAM selaku majikan beliau dengan bertindak mengeluarkan kritikan terbuka seperti itu di khalayak ramai.
Lantaran itu, Cklamovski sempat menzahirkan permohonan maaf pada sesi sidang media Isnin lalu dengan menjelaskan kenyataan tersebut dibuat tanpa niat untuk mengkritik FAM.
Perkembangan terbaharu menyaksikan Datuk Wira Yusoff Mahadi menyatakan bahawa segala keputusan diserahkan kepada Lembaga Disiplin berkenaan kenyataan oleh Peter Cklamovski itu.
”Saya boleh terima permohonan maaf itu secara peribadi tapi sebagai satu organisasi, sudah tentu kita ada peraturan yang perlu kita patuhi dan hormati,” kata Yusoff Mahadi kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
”Oleh itu saya menyerahkan (keputusan) kepada Lembaga Disiplin kita untuk mengambil tindakan kalau ada mengenai kenyataan itu,” jelas beliau.
Peter Cklamovski baru sahaja mengemudi pasukan Harimau Malaya menggengam kemenangan ke-4 berturut-turut bagi saingan Kelayakan Piala Asia 2027 dengan mengatasi Laos 5-1 pada Selasa.
5 jaringan daripada Faisal Halim, Romel Morales, Paulo Josue dan satu gol sendiri memastikan kemenangan bergaya untuk Harimau Malaya meneruskan cita-cita besar ke pentas Piala Asia.