Tindakan Harimau Malaya menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup baru-baru ini berpotensi memberi kesan negatif kepada pasukan itu.
Pandangan ini disuarakan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Asmawi Bakiri apabila diminta mengulas keputusan tersebut.
Asmawi percaya tindakan ini berpotensi menyebabkan negara-negara ahli Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) menolak jemputan Harimau Malaya pada masa akan datang.
“Impak yang besar, apakah keputusan skuad negara selepas ini? Mungkin yalah kita tolak CAFA (Nations Cup).
“Jadi, kalau kita buat perlawanan persahabatan atau panggil pasukan-pasukan luar datang, menjadikan alasan tak pergi CAFA (Nations Cup) begitu. Adakah pasukan negara kita masih dalam keadaan kuat atau sebaliknya?” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Sebelum ini, Harimau Malaya memilih menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup yang bakal berlangsung pada penghujung Ogos ini.
Antara faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut ialah kesukaran mendapatkan pelepasan pemain dan faktor logistik pasukan.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski melihat keputusan ini bukan satu keputusan yang popular. Pada masa sama, beliau percaya ini dapat membantu menjaga reputasi skuad negara.