Republik Czech terpaksa menelan kepahitan apabila dimalukan pasukan ke-136 dunia, Faroe Islands dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah.
Selepas berjaya mengikat Croatia tanpa jaringan pada 10 Oktober lalu, Republik Czech berharap dapat meraih kemenangan. Ini kerana mereka boleh menghambat pasukan Eropah Timur itu yang juga pendahulu Kumpulan L.
Malangnya, mereka ketinggalan apabila Hanus Sorensen membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-67.
Pemain sayap Olympique Lyon, Adam Karabec kemudiannya menyamakan kedudukan buat Republik Czech pada minit ke-78.
Hasrat pelawat kemudiannya musnah apabila Faroe Islands meraih gol kemenangan menerusi Martin Agnarsson tiga minit selepas itu.
Kemenangan ini menyaksikan kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan satu mata. Republik Czech di tempat pertama dengan 13 mata, satu mata di hadapan Faroe Islands.
Selepas ini, Republik Czech akan menentang San Marino pada 14 November. Faroe Islands akan menentang Croatia sehari selepas itu.